السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُsuluhi

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

اما بعد

Lanjutan Makrifat 9 (1/2): Af’al (Perbuatan) Allah dan Hubungannya dengan Hamba

Af‘al Allah dan Hubungannya dengan Hamba menurut Al-Ghazali

“Al-Ghazali (Hujjatul Islam Abū Ḥāmid Muḥammad ibn Muḥammad al-Ghazālī w 505 H) melihat bahawa percanggahan pendapat di antara al-Asha‘irah dan al-Maturidiah dalam isu af‘al Allah bersifat leksikal (lafzi) semata-mata. Ini kerana sumber pemahaman al-Asha‘irah dan al-Maturidiah dalam isu ini ialah al-Qur‘an dan al-Sunnah. Sama ada af‘al Allah disifatkan baharu atau qadim, tidak diragui bahawa ia terdapat dalam keterangan Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya ﷺ.”

“Pada al-Ghazali, setiap konsep perantaraan yang dikemukakan oleh al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah mempunyai peranan yang berbeza, yang saling mengukuhkan di antara satu dengan yang lain. Misalnya, kita telah jelas bagaimana bentuk atau sifat hubungan zat Allah سبحانه وتعالى dengan af‘al Allah iaitu melalui konsep al-ta‘alluq. Dalam menghubungkan af‘al Allah dengan hamba pula, kita telah jelas bentuk atau sifat hubungan tersebut melalui konsep al-takwin. Gandingan kedua-dua konsep ini memberi pencerahan terhadap isu af‘al Allah.”

“Bertitik tolak daripada komentar-komentar ini, al-Ghazali telah merumus satu pemahaman berupa manhaj yang bertindak menguraikan kekeliruan dalam isu af‘al Allah. Manhaj tersebut mengabungkan konsep al-ta‘alluq dan al-takwin yang diwacanakan sebagai al-manhajiyyah al-ta‘alluqayniyyah, dengan maksud konsep dwi kaitan yang menghubungkan zat Allah سبحانه وتعالى dengan af‘al Allah pada satu sudut dan menghubungkan af‘al Allah dengan hamba pada satu sudut yang lain.”

Pada sudut al-ta‘alluq yang menghubungkan zat Allah سبحانه وتعالى dengan af‘al Allah, al-Ghazali menamakannya sebagai al-ta‘alluq yang sesuai dengan sifat qadim Allah سبه وتعالى atau ta‘alluqiyyah suluhiyyan qadiman. Melalui al-ta‘alluq ini, Allah سبحانه وتعالى layak dan sesuai disifatkan dengan perkara yang belum terdapat bukti dilakukan oleh-Nya, iaitu perbuatan-Nya. Manakala pada sudut al-ta‘alluq yang menghubungkan af‘al Allah dengan hamba, beliau menamakannya sebagai al-ta‘alluq yang melaksanakan segala perkara yang bersifat baharu atau ta‘alluqiyyah tanjizan hadithan. Melalui al-ta‘alluq ini, Allah سبحانه وتعالى layak dan sesuai disifatkan dengan perkara baharu iaitu perbuatan-Nya.

Hasil pengabungan melalui al-manhajiyyah al-ta‘alluqayniyyah ini, al-Ghazali diakui sebagai ilmuwan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang telah berjaya menghubungkan tiga penjuru sifat yang berbeza, iaitu di antara qadim sifat zat Allah سبحانه وتعالى dengan harus sifat af‘al Allah – di sisi al-Asha‘irah – dan dengan baharu sifat hamba. Bagi menjelaskan lagi pengabungan di sini, al-Ghazali telah mengutarakannya melalui metafora berikut:

إن السيف فى الغمد صارما. وعند حصول القطع به وفى تلك الحالة على الإقتران يسمى صارما وهما بمعنيين مختلفين فهو فى الغمد صارما بالقوة وعند حصول القطع به صارما بالفعل

“Sesungguhnya sebilah pedang [semasa] di dalam sarungnya ia [telah] disifatkan tajam. Ketika terhasilnya potongan dengannya dan ketika berlakunya penyertaan [iaitu munculnya perbuatan aktual daripada potensi yang ada pada pedang itu] ia [juga] dinamakan tajam, kedua-dua [istilah ini] mempunyai makna yang berbeza, di mana pada ketika ia berada di dalam sarung ia (pedang) [disifatkan sebagai] tajam secara daya/ potensi dan tatkala ia berhasil memotong [sesuatu] ia [disifatkan sebagai] tajam secara aktual.”

“Metafora ini menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى telah layak disifatkan dengan perbuatan-Nya semasa azali walaupun perbuatan itu belum terbukti berhubung dengan hamba. Pada masa ini, penyifatan atau sandaran perbuatan pada Allah سبحانه وتعالى berlaku secara daya atau potensi iaitu Allah سبحانه وتعالى bersedia atau berpotensi untuk melakukan perbuatan-Nya. Manakala pada masa wujudnya hamba, Allah سبحانه وتعالى juga layak disifatkan dengan perbuatan-Nya. Pada masa ini, penyifatan atau sandaran perbuatan pada Allah سبحانه وتعالى berlaku secara aktual, iaitu Allah سبحانه وتعالى melakukan perbuatan-Nya secara langsung atau aktual. Al-manhajiyyah al-ta‘alluqayniyyah yang dikemukakan al-Ghazali ini diperakui ampuh, bukan sahaja oleh para ilmuwan al-Asha‘irah, al-Maturidiyyah dan al-Hukama’ bahkan tokoh-tokoh daripada al-Mu‘tazilah.”

“Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa bagi mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, Allah سبحانه وتعالى telah menerangkan kekuasaan-Nya yang menyeluruh ke atas segala-galanya, ini termasuklah perbuatan hamba sama ada disifatkan baik atau buruk. Jika dikatakan terdapat perselisihan sekalipun yang berlaku antara pendokong aliran mazhab arus perdana ini, ia terletak pada taakulan hubungan Allah سبحانه وتعالى dengan hamba, yang mana masalah ini tertumpu pada isu perkaitan antara Yang Qadim dengan yang baharu.”

“Menurut ilmuwan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, perselisihan yang digambarkan adalah bersifat lafzi. Ia bukanlah bersifat kontekstual yang mengakibatkan pemahaman yang berbeza. Ini amat jelas, apabila komponen Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah – al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah – bersepakat menghubungkan Allah سبحانه وتعالى dengan hamba melalui perantaraan yang berperanan menyesuaipadankan antara kedua-duanya, tanpa mencacatkan keqadiman dan keesaan Allah سبحانه وتعالى atau meninggikan kedudukan hamba. Perantaraan itu dikenali sebagai al-ta‘alluq di sisi al-Asha‘irah dan al-takwin di sisi al-Maturidiyyah.”

والله أعلم بالصواب

ﺳُﺒْﺤَﺎﻧَﻚَ ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻭَﺑِﺤَﻤْﺪِﻙَ ﺃَﺷْﻬَﺪُ ﺃَﻥْ ﻻَ ﺇِﻟﻪَ ﺇِﻻَّ ﺃَﻧْﺖَ ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُﻙَ ﻭَﺃَﺗُﻮْﺏُ ﺇِﻟَﻴْﻚ

“Maha suci Engkau wahai Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”

Tulisan