السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُtanjizi

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين نبينا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

اما بعد

Berkata Musannif Syeikh Muhammad bin Asy-Syafi’i Al-Fudholi Asy-Syafi’i  رحمه الله dalam melanjut tulisan risalah Tauhidnya كفاية العوام :

فتتعلق بالمعدوم فتوجده كتعلقها بك قبل وجودك وتتعلق الموجود فتعدمه كتعلقها بالجسم الذى ارادالله اعدامه فيصيربها معدوما اى لا شى وهذا التعلق تنجيزى بمعنى انها تعلقت بالفعل والتعلق التنجيزى حادث ولها تعلق صلوحى قديم وهو صلاحيتها فى الازل للايجاد فهى صالحة فى الازل لان توجد زيدا طويلا او قصيرا او عريضا وصالحة لإعطائه العلم

“Maka ta’alluq (sifat kudrat) dengan yang ma’dum maka ia menjadikannya, seperti ta’alluqnya kudrat itu dengan engkau sebelum engkau ada. Dan ta’alluq (kudrat) dengan yang maujud maka ia meniadakannya, seperti ta’alluqnya kudrat itu dengan jisim di mana Allah telah menghendaki untuk meniadakannya, maka jadilah jisim itu ma’dum dalam erti “tidak ada sesuatu”.

Dan ta’alluq ini (adalah) tanjizi  dengan makna bahawa ia (kudrat) ta’alluq dengan perbuatan. Dan taalluq tanjizi (adalah) hadis (baharu).”

Dan baginya (kudat) juga ta’alluqi suluhi qadim iaitu patut kudrat pada zaman azali untuk menjadikan. Maka kudrat itu patut pada azal  untuk menjadikan si Zaid tinggi, atau pendek atau gemuk dan patut memberinya ilmu.” انتهى

Af‘al Allah dan Hubungannya dengan Hamba Menurut al-Asha‘irah

Apabila al-Qur’an atau al-Sunnah menerangkan tentang af‘al Allah, penerangannya berkait erat dengan hamba. Contohnya dalam surah al-An‘am (6:101-102):

بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ۥ وَلَدٌ۬ وَلَمۡ تَكُن لَّهُ ۥ صَـٰحِبَةٌ۬‌ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَىۡءٍ۬‌ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ۬ (١٠١) ذَٲلِڪُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمۡ‌ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ خَـٰلِقُ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ فَٱعۡبُدُوهُ‌ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ وَڪِيلٌ۬ (١٠٢)

“Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbir segala-galanya.”

Dalam surah al-Qamar (54: 49) Allah سبحانه وتعالى berfirman:

إِنَّا كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقۡنَـٰهُ بِقَدَرٍ۬ (٤٩)

“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”

Kesemua keterangan ayat-ayat al-Qur’an di atas, tidak menetapkan secara jelas apakah bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah dengan hamba, apakah ia qadim sama seperti zat Allah سبحانه وتعالى  atau baharu sama seperti hamba?

“Al-Asha‘irah mengisbatkan bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah dengan hamba sebagai baharu. Mereka lebih cenderung mengaitkan af‘al Allah dengan hamba berbanding mengaitkannya dengan zat Allah سبحانه وتعالى sendiri. Daripada pengisbatan ini, bukan sahaja bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah sahaja yang baharu bahkan di sisi al-Asha‘irah, af‘al Allah itu sendiri juga baharu.”

“Pengisbatan ini berpunca daripada pemahaman al-Asha‘irah ke atas mafhum ‘perbuatan’ yang tidak sesuai dan tidak tepat dikaitkan denganAllah سبحانه وتعالى pada masa azali. Perbuatan seperti menghidup dan mematikan, tidak memperlihatkan kesesuaiannya dengan Allah سبحانه وتعالى pada ketika hamba belum diwujudkan. Begitu juga dengan perbuatan yang lain seperti mencipta, memberi rezeki dan sebagainya.”

“Bahawa perkataan ‘af‘al’, apabila dilihat daripada sudut literal, ia perlu wujud berangkai dengan masa, dan hal ini pastinya hanya berkait dengan perbuatan hamba. Adalah mustahil jika perkara ini dapat dibayangkan pada perbuatan Allah سبحانه وتعالى kerana ini akan menimbulkan persoalan; apakah sintaksis masa yang relevan dalam konteks perbuatan hamba akan turut relevan dalam konteks perbuatan Allah سبحانه وتعالى? Pasti jawapannya ialah tiada relevansi sama sekali. Jawapan ini dapat difahami secara aksiom kerana jika perbuatan yang disifatkan kepada hamba adalah sama sebagaimana yang disifatkan kepada Allah سبحانه وتعالى, maka sifat perbuatan kedua-duanya adalah sama dan ini bercanggah dengan kenyataan bahawa perbuatan Allah سبحانه وتعالى adalah tidak sama dengan perbuatan hamba.”

“Ternyata pendapat sebegini tidak memberi kesukaran kepada al-Asha‘irah untuk menghubungkan af‘al Allah dengan hamba. Tetapi bagaimana pula untuk memahami bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah – yang disifatkan baharu – dengan zat Allah سبحانه وتعالى yang qadim? Ini kerana, jika tidak dihubungkan antara keduanya, isu af‘al Allah tidak menjadi suatu topik yang dibahaskan malah ia menjadi isu af‘al al-‘ibad (perbuatan hamba) yang yang dibahaskan al-Mu‘tazilah dengan memisahkan perbuatan hamba daripada penguasaan Allah سبحانه وتعالى . Tuntas, jawapannya ialah melalui pendekatan al-wasiliyyah (perantaraan). Al-Asha‘irah menjelaskan pendekatan ini dengan memperkenalkan konsep al-ta‘alluq (keterkaitan) yang berperanan mengaitkan suatu yang baharu dengan suatu yang qadim.”

“Secara lebih tepat, al-ta‘alluq ‘menyuaipadan’ baharu pada af’al Allah dengan keqadiman zat Allah سبحانه وتعالى . Ini boleh diterima akal sebagai harus berlaku (yajuz al-‘aqlan) kerana af‘al Allah – meskipun baharu – tetap merupakan sebahagian daripada sifat Allah سبحانه وتعالى . Kesuaipadanan antara keduanya (af‘al Allah dan zat Allah سبحانه وتعالى) tidak mencacatkan sedikitpun keesaan mahupun keqadiman zat Allah سبحانه وتعالى . Pada Imam al-Ash‘ari sendiri, konsep al-ta‘alluq dinyatakan sebagai al-sifah al-ta‘alluqiyyah li al-Dhat (sifat keterkaitan pada zatAllah سبحانه وتعالى ) kerana kaitannya hanya dengan zat Allah سبحانه وتعالى .”

“Apabila al-Asha‘irah mengisbatkan af‘al Allah sebagai baharu, maka ia tidak dihimpunkan sebagai sebahagian daripada sifat wajib bagi Allah سبحانه وتعالى  (al-sifat al-wujubiyyah) kerana ciri sifat wajib ini mesti qadim dan azali. Sebaliknya af‘al Allah dihimpunkan sebagai sebahagian daripada perkara harus (jawaz), iaitu tidak wajib dan tidak mustahil bagi Allah سبحانه وتعالى  untuk disifatkan dengan-Nya.”

Af‘al Allah dan Hubungannya dengan Hamba menurut al-Maturidiyyah

“Berbeza dengan al-Asha‘irah, al-Maturidiyyah mengisbatkan bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah dengan hamba sebagai qadim. Mereka lebih cenderung mengaitkan af‘al Allah dengan Allah سبحانه وتعالى berbanding mengaitnya dengan hamba. Dengan pengisbatan ini, bukan sahaja bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah sahaja yang qadim, bahkan di sisi al-Maturidiyyah, af‘al Allah itu sendiri juga qadim.”

“Jelas di sini, tidak timbul isu sama ada perbuatan sesuai atau tidak sesuai dikaitkan denganAllah سبحانه وتعالى  pada masa azali kerana al-Maturidiyyah menghimpunkan perbuatan Allah سبحانه وتعالى  sebagai sebahagian daripada sifat wajib bagi-Nya. Namun, bagaimana pula untuk memahami bentuk atau sifat hubungan af‘al Allah – yang disifatkan qadim – dengan hamba yang bersifat baharu?”

“Dalam hal ini, al-Maturidiyyah turut mengambil pendekatan yang sama dengan al-Asha‘irah iaitu pendekatan al-wasiliyyah. Cuma perbezaannya, pendekatan tersebut tidak dinamakan al-ta‘alluq tetapi dinamakan al-takwin (pembentukan) yang berperanan mengaitkan suatu yang qadim dengan suatu yang baharu.”

“Maksud al-takwin atau pembentukan di sini ialah, Allah سبحانه وتعالى  pada masa azali telah membentuk gambaran (kawwan surah) hamba, bagaimana mereka akan diwujudkan, apa tujuan mereka dan bagaimana pengakhiran mereka. Dia juga telah membentuk keadaan (kawwan ahwal) yang mempengaruhi hamba dalam melakukan perbuatan-perbuatan mereka. Sifat pembentukan atau al-takwin ini diinduksikan daripada ayat al-Qur’an dalam surah Yasin (36:82) yang berbunyi:

إِنَّمَآ أَمۡرُهُ ۥۤ إِذَآ أَرَادَ شَيۡـٴً۬ـا أَن يَقُولَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ

“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau”. Maka ia terus menjadi.”

“Secara lebih tepat, al-takwin menyuaipadan qadim pada af’al Allah dengan baharu pada hamba. Ini boleh diterima akal sebagai harus berlaku kerana hamba – meskipun baharu – tetapi penguasaan Allah سبحانه وتعالى ke atas mereka telah berlaku sebelum mereka wujud lagi, iaitu semenjak daripada azali lagi. Kesuaipadanan antara keduanya (af‘al Allah dan hamba) tidak mencacatkan sedikitpun keesaan mahupun keqadiman zat Allah سبحانه وتعالى . Pada Imam al-Maturidi, konsep al-takwin dinyatakan sebagai al-sifah al-takwiniyyah Ta‘ala (sifat pembentukan Allah سبحانه وتعالى ) kerana pembentukan itu hanya dilakukan olehAllah سبحانه وتعالى .”

Tujuan al-Maturidiyyah mengemukakan konsep al-takwin adalah untuk menolak pemahaman af‘al Allah sebagai baharu, yang mana pemahaman ini boleh merubah mafhum keqadiman zat Allah سبحانه وتعالى . Ternyata, penolakan ini bukan sahaja menegaskan af‘al Allah sebagai qadim, malah menghimpunkannya sebagai sebahagian daripada sifat wajib (sifat al-wujubiyyah). Mereka membuktikan kenyataan mereka berpandukan firman Allah سبحانه وتعالى dalam surah al-Hashr (59: 24):

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَـٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُ‌ۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

“Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah yang tidak ada tolok bandingnya, lagi Maha Bijaksana.”

Ayat suci di atas menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى  memiliki sifat mencipta, mengadakan dan membentuk rupa (bentuk fizikal). Pemilikan ini mustahil pada masa baharu kerana sifat-sifat ini telah diungkapkan di dalam al-Qur’an yang bersifat qadim lagi azali.

Apabila dibandingkan pemahaman al-Maturidiyyah di sini dengan al-Asha‘irah yang lalu, boleh disimpulkan bahawa perbezaan antara kedua aliran amatlah ketara dalam isu af‘al Allah. Ini sangat jelas pada penyifatannya – baharu atau qadim – dan hubungannya sama ada dengan Allah سبحانه وتعالى atau dengan hamba. Meskipun demikian, di samping perbezaan tersebut, kedua-dua aliran bersetuju dalam dua perkara berikut:

Pertama: Kewujudan hamba wajib bersandar padaAllah سبحانه وتعالى  di atas tasawur sandaran suatu bersifat baharu pada suatu yang bersifat qadim. Sandaran ini dihukumkan wajib bagi mengelak timbulnya rentetan tanpa pengakhiran (tasalsuliyyah ghayr al-nihayah) yang sinonim dengan sandaran suatu baharu pada sesuatu baharu yang lain.

Kedua: Bagi menghubungkan suatu yang baharu dengan sesuatu yang bersifat qadim, al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah mengaplikasikan pendekatan al-wasiliyyah atau perantaraan.

Meneliti secara mendalam pada dua persamaan ini, terdapat titik pertemuan yang tidak diragui di antara al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah. Pendekatan perantaraan al-Asha‘irah yang dikenali dengan konsep al-ta‘alluq melibatkan hubungan zat Allah سبحانه وتعالى  dengan af‘al Allah, manakala pendekatan perantaraan al-Maturidiyyah yang dikenali dengan konsep al-takwin pula melibatkan hubungan af‘al Allah dengan hamba. Kedua-dua konsep memiliki skop yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi, kedua-duanya memperkasa di antara satu dengan yang lain. Ini telah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam penelitian beliau terhadap isu af‘al Allah.

Selanjutnya Makrifat 9 (2/2): Af’al (Perbuatan) Allah dan Hubungannya dengan Hamba

والله أعلم بالصواب

ﺳُﺒْﺤَﺎﻧَﻚَ ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﻭَﺑِﺤَﻤْﺪِﻙَ ﺃَﺷْﻬَﺪُ ﺃَﻥْ ﻻَ ﺇِﻟﻪَ ﺇِﻻَّ ﺃَﻧْﺖَ ﺃَﺳْﺘَﻐْﻔِﺮُﻙَ ﻭَﺃَﺗُﻮْﺏُ ﺇِﻟَﻴْﻚ

“Maha suci Engkau wahai Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku mohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.”

Tulisan